Monday, October 29, 2007

Semoga Cikgu Cepat Sembuh

Aku diberitahu bahawa Cikgu Saeda sedang sakit dan dalam pembedahan hari Jumaat yang lalu oleh temanku Zalifah. Saat itulah...jantungku bagai hendak gugur. Tak dapat hendak tahan sebak yang bergumpal di dada. Cikgu Saeda didapati menghidapi penyakit barah rahim dan kali ini merupakan kali yang keempat beliau dibedah. Aduh. Kasihannya. Aku tahu bahawa beliau sakit tapi kami tidak pernah diberitahu sakit apa. Dengan serta merta aku sms Cikgu Saeda kerana aku tahu mungkin suaminya akan membalas smsku.

Suaminya memberitahu bahawa Cikgu Saeda sedang dalam pembedahan dan supaya mendoakan keselamatannya. Dalam jam 5.30ptg, pembedahannya selesai dengan selamat. Syukur Alhamdulillah. Aku bercadang hendak pergi melawatnya Ahad (semalam) tetapi tidak berpeluang. Jadi aku dan kawan-kawan sudah bercadang untuk melawatnya pada hari Selasa ini. Moga-moga Cikgu sudah beransur pulih.

Cikgu Saeda merupakan seorang guru yang meninggalkan kesan yang mendalam bagi diriku. Beliau seorang guru yang sering tersenyum, selalu positif dan sering memberi sokongan kepada para pelajarnya. Apabila aku diberitahu beliau akan menjadi supervisor aku, aku gementar kerana aku tahu beliau ini tegas dan terperinci orangnya. Akan tetapi, aku telah mempelajari banyak perkara dari beliau dan beliau banyak memberi sokongan. Aku bertekad menjadi seorang guru sepertinya.

Walaupun aku dah hampir 3 tahun mengajar, aku masih berhubungan dengan Cikgu Saeda untuk memberitahunya tentang hal ehwal diriku. Namun, beliau tidak pernah beritahu tentang penyakitnya yang sebenar setiap kali kami berutusan emel.

Terima kasih Cikgu kerana Cikgu merupakan salah seorang insan yang telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi diri saya. Semoga Cikgu cepat sembuh dan kami semua akan doakan kesihatan Cikgu. Amin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home