Wednesday, May 16, 2007

MAUT DI GUNUNG LEDANG

PEMBERIAN DAN PERMINTAAN TERAKHIR IBU, ANAK

Wang bulanan pemberian terakhir Allahyarham Rohaizam, digital kamera pemberian terakhir ibu

Oleh
Shamsul Jangarodin

SETIAP bulan Cik Siti Rohani Rabini tidak putus menerima wang belanja daripada anak sulungnya, Encik Mohd Rohaizam Tumadi.


Namun Rabu lalu, anaknya itu terpaksa menggunakan wang beliau untuk membeli kamera digital bagi dibawa ke perkhemahan bersama 130 kakitangan dan guru pelatih dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) esoknya.


Cik Siti Rohani, 55 tahun, tidak menyangka wang bulanan lalu adalah pemberian terakhir daripada anaknya, dan kamera digital itu adalah pemberian terakhir beliau bagi anaknya.


Encik Mohd Rohaizam, 26 tahun, meninggal dunia apabila khemah yang dia berada di dalam dihempap sebatang pokok tumbang semasa ribut di kawasan Air Terjun Hutan Lipur Gunung Ledang, dekat Tangkak, Johor, sekitar 5.15 pagi semalam.


Jurucakap Polis Daerah Muar berkata Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian.


Menurut Cik Siti Rohani, seorang operator pengeluaran, perkhemahan di Gunung Ledang itu adalah sebahagian daripada satu program NIE yang bermula Khamis lalu.


Mereka ke Gunung Ledang Ahad lalu dan dijadualkan pulang ke Singapura semalam. Program NIE itu berakhir hari ini.


Allahyarham, lulu san Universiti Nasional Singapura (NUS), sedang menjalani latihan di NIE untuk menjadi guru latihan jasmani.


Menceritakan saat-saat menerima berita kematian anaknya, sambil menitiskan air mata Cik Siti Rohani berkata: 'Waktu itu saya baru nak solat subuh. Tiba-tiba telefon berdering. Saya fikirkan Zam, lalu jawab telefon. Seorang pegawai perkhemahan kata Zam cedera sedikit saja.


'Tapi sekitar 8 pagi mereka kata Zam dah tak ada.'


Anak sulung daripada tiga adik-beradik bakal menyambut ulang tahun ke-27 pada 11 Jun.


Bapanya, Encik Tumadi Jaafar, 55 tahun, seorang pegawai logistik, telah ke Hospital Tangkak pagi semalam bersama adik perempuan Allahyarham dan beberapa pegawai NIE untuk membawa pulang jenazah Allahyarham.


Menurut Cik Siti Rohani lagi, tahun ini kali pertama Allahyarham tidak memberinya hadiah hari ibu kerana beliau terpaksa menghadiri perkhemahan itu.


'Tiap-tiap tahun Zam pasti ada hadiah buat mak cik. Cuma tahun ini tak sempat. Dan sejak kebelakangan ini Zam senyap orangnya. Dia tak mesra seperti dulu.


'Dia pergi pun tak cakap sangat. Tahu tahu dia dah naik kereta kawannya. Tak sangka dia pergi dengan begitu cepat buat selama-lamanya,' ujar beliau.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,96095,00.html?

1 Comments:

Blogger Unknown said...

It has been nearly seven years. A.-Fatehah. - Hamzah

10:15 PM  

Post a Comment

<< Home